Seorang lagi mangsa keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, Pulau Pinang masih kritikal.

Ketua polis negeri Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan dipantau pegawai perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Mangsa terakhir masih lagi di ICU di Hospital Sultan Mizan, setakat ini tiada perubahan, masih lagi memantau keadaan dari semasa ke semasa.

"Kalau ikut CCTV itu tidak panjang sangat, masa dia hubungi keluarga datang, jadi tak lama sangat.

"Kereta yang diletakkan di situ banyak, mungkin pekerja tak perasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) Kontijen Pulau Pinang di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang pada Jumaat.

Pada Khamis, tiga daripada empat pelajar kolej yang sedang menunggu hari Konvokesyen maut selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida setelah tertidur di dalam kereta.

Tiga mangsa yang maut ialah Sharifah Farisha Syed Fathi, Ayuni Shazwani Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan, masing-masing berusia 21 tahun.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan di stesen minyak berkenaan.

Kesemua mangsa dipercayai singgah ke stesen minyak itu untuk berehat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.